Bola sepak perlukan Mourinho -- Bosingwa 

Oleh Penulis Jemputan 9 Disember 2019 1361
Bola sepak perlukan Mourinho -- Bosingwa 
Pelantikan Jose Mourinho di Tottenham mendapat restu Jose Bosingwa yang mengatakan bola sepak memerlukan bekas pengurus Chelsea itu.

Bulan lalu, Spurs menggantikan tempat Mauricio Pochettino dengan Mourinho dan sejak itu, pengurus Portugis berkenaan telah membimbing kelab tersebut untuk meraih empat kemenangan daripada lima perlawanan.

Mourinho, yang tidak menggalas sebarang jawatan sejak dipecat oleh Manchester United pada Disember tahun lalu, merupakan pelantikan mengejutkan oleh Spurs memandangkan dia sebelum ini mengatakan tidak akan mengisi jawatan di Tottenham ekoran hubungan dengan Chelsea.

Bagaimanapun, Bosingwa, yang pernah beraksi di bawah kendalian Mourinho di Porto, gembira melihat bekas pengurusnya itu kembali bertugas. 

Bosingwa, yang bercakap dalam majlis Jelajah Trofi Liga Juara-Juara yang dianjurkan oleh Nissan, memberitahu Omnisport: "Saya berasakan bola sepak memerlukan Mourinho, saya gembira dia telah kembali.

"Saya harap dia akan melaksanakan pekerjaannya dengan baik kerana dia seorang pengurus terbaik di dunia, jadi dia pasti akan melakukan tugasan yang hebat."

Bosingwa merupakan sebahagian daripada anggota pasukan juara UCL 2003-04 itu dan pertahanan sayap berkenaan sekali lagi memenangi kejohanan kelab utama Eropah itu pada 2011-12 bersama Chelsea.

Kejayaan dilihat lebih sukar untuk dijangkau di kelab utara London itu berikutan trofi terakhir yang dimenangi mereka ialah pada 2007-08 menerusi Piala Liga Inggeris (EFL).

Ditanya sama ada Mourinho mampu menamatkan penantian kejuaraan, bekas tonggak Portugal berkenaan berkata: "Tottenham mempunyai skuad yang baik, mungkin salah satu skuad terbaik dalam Liga Perdana.

"Bukan mudah (untuk memenangi trofi) tetapi saya berharap dia dapat melakukannya."

Seteru setempat, Arsenal, kini memburu pengurus baru selepas memecat Unai Emery bulan lalu sambil pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo, disebut-sebut sebagai salah seorang daripada calon untuk mengisi kekosongan itu. 

Justeru, Bosingwa percaya rakan senegaranya itu berhak untuk mengemudi kelab besar. 

"Saya fikir dia layak dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang," kata Bosingwa.

"Dia sedang melakukan tugasnya dengan baik, jadi dia memang berhak. Mari kita lihat apa yang akan berlaku."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen