SOUTHAMPTON 0 ARSENAL 2

Mikel Arteta gembira dengan kematangan "luar biasa" yang dipamerkan Eddie Nketiah sejak kembali ke Arsenal, sementara dia juga mengingatkan Bukayo Saka bahawa pemain remaja itu memiliki semua yang diperlukan di Arsenal di celah-celah spekulasi perpindahan.


The Gunners mengalami kekalahan berturut-turut kepada Manchester City dan Brighton & Hove Albion apabila saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini bersambung awal bulan ini, namun prestasi mereka gagal menepati jangkaan.

Tetapi di St. Mary, mereka akhirinya mengelakkan kekalahan ketiga berturut-turut apabila membuka tirai jaringan dalam babak pertama apabila Nketiah menghambat kesilapan hantaran Alex McCarthy sebelum menolak bola ke gawang yang kosong.

Joe Willock mengukuhkan kedudukan pelawat tidak lama selepas Jack Stephens dibuang padang, tetapi persembahan pemain England B-21 itu lebih menarik perhatian Arteta.

"Eddie, sejak saya dilantik menunjukkan kematangan yang sangat luar biasa," kata pengurus dari Sepanyol itu kepada wartawan.

"Saya mempunyai tuntutan tinggi terhadap ramai pemain di barisan depan dan mereka berjaya melakukannya.

"Banyak gol yang kami sumbat adalah kerana kesilapan yang kami cetuskan (terhadap pihak lawan). Dalam cuaca panas seperti ini bukanlah satu perkara terbaik tetapi ia penting untuk meningkatkan kepercayaan terhadap apa yang kami sedang lakukan."

Satu lagi produk akademi Arsenal, Saka, turut mencuri perhatiannya.

Pemain berusia 18 tahun itu tampil di bahagian sayap dan di bek kiri dalam musim pertama bersama pasukan senior, tetapi mampu menunjukkan aksi mengagumkan ketika memainkan kedua-dua peranan tersebut.

Awal pagi tadi, kelibatnya lebih menjurus di bahagian serangan, lalu kreativitinya dikagumi Arteta.

Namun, kontraknya bakal berakhir tahun depan dan timbul kekhuatiran bahawa dia mungkin memilih untuk meninggalkan kelab utara London tersebut di sebalik pengurus berkenaan yakin anak buahnya itu memiliki semua yang diperlukannya di Emirates Stadium.

"Masa depannya terletak di tangannya," katanya.

"Dia mempunyai pengurus yang sangat mempercayainya dan rakan sepasukan pula memujinya.

"Dia mampu menempatkan dirinya di posisi yang berbeza dan dia menyesuaikan diri dengan cepat. Dia mampu menghasilkan tiga gol dengan mudah hari ini."


Arteta juga menangani isu-isu Arsenal baru-baru ini dengan menegaskan dia mengesan perbezaan ketika sesi latihan sebelum pertemuan dengan Southampton itu.

"Kami menempuhi dua minggu yang sangat sukar," tambahnya.

"Saya bimbang susulan kekalahan di Brighton, ia benar-benar memberi kesan kepada pasukan tetapi semalam saya dapat melihat reaksi pemain adalah sangat positif.

"Kami harus berkembang sebagai sebuah pasukan dan ada banyak aspek yang harus kami lalui untuk dipelajari.

"Mereka sanggup. Saya tidak pernah mengecam usaha itu, saya cuma kritis terhadap cara kami kalah (di Brighton)."