Bernardo Silva akur City dalam situasi buruk

Oleh Staff Writer 28 Disember 2019 609
Bernardo Silva akur City dalam situasi buruk
Pemain Manchester City, Bernardo Silva, sedar beza 14 mata di antara pasukannya dan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, adalah satu situasi yang buruk selepas kekalahan dramatik 3-2 di tangan Wolverhampton Wanderers, awal pagi tadi.

Kelmarin, Liverpool -- yang mempunyai kelebihan satu perlawanan -- membelasah Leicester City 4-0 untuk meningkatkan kelebihan di puncak liga dan skuad kendalian Pep Guardiola, City, gagal mencipta kemenangan di Molineux.

Walaupun Ederson diperintah keluar padang pada minit ke-12, City tetap berupaya mendahului dalam babak kedua hasil dua jaringan Raheem Sterling.

Namun, Adama Traore memberi inspirasi buat Wolves apabila meledakkan gol dari jarak 25 ela sebelum membuka ruang buat Raul Jimenez menyamakan kedudukan pada minit ke-82 selepas menggunakan kesempatan hasil kesilapan Benjamin Mendy.

Matt Doherty melengkapkan kemenangan menerusi gerakan bijak dengan Jimenez dan Silva menerima hakikat kedudukan City ketika ini mengecewakan.

Bercakap dalam Amazon Prime, dia berkata: "Ia satu situasi buruk buat kami. Babak pertama musim ini yang mengecewakan.

"Tiada siapa menjangkakan kami berada sejauh ini daripada Liverpool. Kami harus teruskan cabaran.

"Kami tahu bahawa memenangi kejuaraan adalah sesuatu yang merumitkan. Saya tidak kata ia mustahil tetapi sangat sukar."

Guardiola turut memberi kenyataan selepas perlawanan, memberi bayangan untuk melupakan cabaran kejuaraan liga musim ini.

"Ia satu beza yang besar dalam tempoh yang panjang," katanya.

"Tidak realistik untuk memikirkannya. Soalan sama untuk satu tempoh yang lama tetapi jawapan tetap sama."


Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen