Berdepan Brighton aksi paling sukar buat United musim ini

Oleh Penulis Jemputan 26 November 2017 1550
Berdepan Brighton aksi paling sukar buat United musim ini
MANCHESTER UNITED 1 BRIGHTON 0

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, mengakui kemenangan 1-0 ke atas Brighton and Hove Albion sukar diterima oleh pasukan lawan di samping menyifatkan ia adalah perlawanan paling sukar dihadapi United musim ini.


The Seagulls bersaing dengan United sepanjang perlawanan di Old Trafford selepas tuan rumah bergelut untuk menghasilkan peluang, dengan dua tampanan daripada Mat Ryan terhadap percubaan Romelu Lukaku dan Paul Pogba pada penghujung separuh masa pertama.

Jaringan, bagaimanapun, berjaya dihasilkan pada pertengahan separuh masa kedua hasil percubaan Ashley Young selepas rembatannya terbias daripada Lewis Dunk sekaligus menewaskan penjaga gol.

Mourinho menyaksikan skuad kendaliannya membazirkan peluang ketika tewas 1-0 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) kepada Basel tetapi gembira apabila berjaya mencuri tiga mata dan terus memberikan asakan kepada pendahulu liga, Manchester City.

"Saya mahu bersikap jujur dan memberikan apa yang sepatutnya berhak diterima Brighton. Pada pendapat saya, mereka berhak menerima lebih lagi daripada keputusan ini," kata Mourinho.

"Mereka bermain dengan baik, barisan pertahanan yang ampuh dan ketika melakukan serangan, Brighton sangat berbahaya. Mereka telah bermain dengan baik.

"Mereka memberikan perlawanan yang paling sukar untuk United musim ini. Kami memiliki beberapa peluang tetapi gagal menyempurnakannya. 

"Tahniah di atas persembahan mereka, tahniah kepada pemain-pemain saya. United tidak bermain dengan baik tetapi mereka telah memberikan segala-galanya.

"Saya berasakan kami lebih bersemangat. Kadang-kala menurunkan ramai penyerang tidak bermakna anda mahu bermain secara menyerang. Kami menurunkan ramai penyerang tetapi kami kehilangan penguasaan bola di bahagian tengah," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen