Dimitar Berbatov percaya penyerang Tottenham, Harry Kane, sudah bersedia untuk meninggalkan kelab itu.

Pemain akademi itu baru-baru ini tidak menolak mempertimbangkan untuk angkat kaki sekiranya dia berasakan kelab berkenaan gagal mencapai kemajuan.

Ketua pasukan England berusia 26 tahun itu, yang kontraknya masih berbaki empat tahun, belum mengecapi sebarang trofi utama bersama Spurs, justeru Berbatov yakin penggempur berkenaan sudah pun terdetik untuk berpindah.

Bekas tonggak Bulgaria itu pernah memperkuatkan kelab London utara berkenaan selama dua musim sebelum bergabung dengan Manchester United, yang semakin hangat dikaitkan dengan Kane, pada 2008 apabila berhasil memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).






"Apa yang menyedihkan dalam bola sepak sejak dulu lagi ialah kewujudan kelab besar. Ia membuatkan kami terperangkap dalam situasi seperti itu yang menyaksikan pemain terbaik pasukan seperti Spurs perlu memutuskan sama ada mereka kekal atau berpindah ke kelab gergasi," kata Berbatov kepada BBC Sport.

"Itulah situasi yang dialami Harry Kane ketika ini. Dia akan berada di persimpangan jalan dan berfikir, 'apakah yang harus saya lakukan sekarang?'

"Situasinya mungkin sukar ekoran wabak novel koronavirus (Covid-19) dan faktor kewangan, tetapi dia di kedudukan yang pernah saya alami. Kadang-kadang dia mungkin terlintas bahawa dia tidak berada di tempat yang tepat.

"Fikiran saya berkecamuk. Ini kerana saya tidak mahu meletakkan pasukan saya di kedudukan sukar berikutan proses yang lama dalam jendela perpindahan hingga membiarkan mereka tanpa pengganti. Tetapi banyak kali ia berlaku ke atas saya dan ramai pemain lagi.

"Bahagian yang paling menyakitkan ialah kali terakhir Spurs menjulang trofi adalah ketika era saya dan Jermaine Jenas. Ia akan dibangkitkan berulang kali lalu mencetuskan kemarahan kerana piala adalah masalah utama bagi pemain seperti Kane yang merupakan ketua pasukan England apatah lagi usianya semakin meningkat.

"Apabila usianya semakin meningkat, dia pasti ingin berkata kepada anak-anaknya: 'Lihatlah apa yang saya telah menangi'."