Benitez mahu dana Januari 

Oleh Penulis Jemputan 14 Disember 2017 305
Benitez mahu dana Januari 
NEWCASTLE 0 EVERTON 1

Pengurus Newcastle United, Rafael Benitez, tidak sabar untuk mendapatkan gambaran jelas tentang kuasa perbelanjaannya pada Januari ini ekoran Magpies semakin mendekati zon penyingkiran.


Skuad kendalian Benitez itu tumbang buat kali ketujuh dalam lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan gol tunggal Wayne Rooney memberikan Everton kemenangan 1-0 di St James' Park awal pagi tadi, sekaligus meletakkan tuan rumah hanya satu mata di atas zon bahaya. 

Keputusan itu memudarkan khabar gembira mengenai pemilikan baru kelab berikutan Syarikat PCP Partners Amanda Staveley yang dilaporkan hampir bersetuju dengan perjanjian mengambil alih pemilikan daripada Mike Ashley.

Benitez berkata dia perlu tahu sejauh mana dana tambahan yang disediakan untuknya. 

"Secepat mungkin, tetapi saya tidak tahu bila," kata pengurus berbangsa Sepanyol itu kepada BBC.

"Kami mempunyai lebihan dana daripada musim panas lalu tetapi saya perlu tahu berapa banyak."

Benitez mengakui Jonjo Shelvey berhak dibuang padang buat kali kedua pada hujung permainan dan berasakan pasukannya mencipta peluang yang cukup untuk memimpin pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, pengurus Everton, Sam Allardyce, membuktikan kebolehannya mengubah kualiti pertahanannya untuk meraih kemenangan ketiga dalam empat perlawanan di bawah pengurusannya.

"Kegigihan dan semangat memberi kami peluang untuk memenangi perlawanan ini 1-0," kata Allardyce tentang pemainnya.

"Saya agak bingung bagaimana Everton dibolosi banyak gol sebelum saya tiba di sini.

"Kami kini mengumpul 22 mata, jadi kami akan menuju ke kedudukan pertengahan dan semuanya berasaskan pertahanan yang kukuh," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen