Bale mampu pulihkan kariernya selepas tinggalkan Madrid, kata Giggs

Oleh Muzaffar Musa 2 Oktober 2020 338
Bale mampu pulihkan kariernya selepas tinggalkan Madrid, kata Giggs
Gareth Bale mampu menemui semula sentuhan terbaiknya selepas meninggalkan Real Madrid untuk menyertai Tottenham, kata ketua jurulatih Wales, Ryan Giggs.

Pemain berusia 31 tahun itu kembali ke pangkuan Tottenham bulan lalu menerusi satu kesepakatan pinjaman jangka panjang, tujuh tahun selepas meninggalkan kelab itu untuk menyertai Madrid dengan rekod perpindahan termahal.

Dia memenangi 13 trofi sepanjang berada di ibu negara Sepanyol itu tetapi bergelut sepanjang dua musim lalu berikutan hubungan dinginnya dengan ketua jurulatih, Zinedine Zidane, selain berdepan masalah kecergasan.

Bagaimanapun, Giggs berharap Bale -- yang tidak tersenarai dalam skuad terbaru Wales berikutan sedang menjalani pemulihan kecederaan lutut -- akan memanfaatkan kepulangannya di London.

"Dia akan bermain dengan lebih kerap berbanding di Madrid," kata Giggs menjelang perlawanan persahabatan menentang England minggu depan sebelum bertemu Republik Ireland dan Bulgaria dalam Liga Negara-Negara Eropah.

"Saya fikir ia perpindahan yang bagus buat Gareth, bagus buat Spurs dan bagus buat Liga Perdana Inggeris (EPL) secara amnya untuk melihat pemain seperti itu setiap minggu.
 
"Dia berada di kelab yang amat dikenalinya bersama seorang pengurus yang amat bagus dan saya fikir dia berkata kepada dirinya ia seperti pulang ke rumah," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen