Arsene Wenger mengakui masih lagi bimbang dengan Arsenal dan bekas pengendali itu berharap Mikel Arteta mampu mendapatkan semula gaya permainan kelab.

Arteta menggantikan Unai Emery selaku pengendali pasukan Disember tahun lalu, dengan Wenger mengumumkan persaraan pada penghujung musim 2017-18.

Tetapi bekas pengurus berusia 70 tauhn itu masih lagi memantau bekas kelabnya dan berharap Arteta mampu mengembalikan gaya permainan yang diterapkan dalam Arsenal.

"Saya bimbang mengenai kelab dan menyaksikan kesemua perlawanan mereka," katanya.

"Saya percaya masih wujud budaya permainan di Arsenal yang saya mahu hormati.

"Dan saya berharap Mikel mampu melakukannya."



Arsenal kini di tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika saingan ditunda ekoran penularan Covid-19 Mac lalu.

Liverpool mendahului saingan dengan berkelebihan 25 mata dan Wenger berasakan skuad kendalian Jurgen Klopp itu berhak diangkat sebagai juara, tidak mengira saingan ditamatkan atau sebaliknya.

"Jurgen telah menjalankan tugas dengan sebaik untuk yang telah menantikan 30 tahun untuk gelaran ini.

"Dan mereka adalah pasukan yang jauh lebih cemerlang berbanding penghuni tangga kedua, Manchester City.

"Tidak mengira apa yang diputuskan di England, mereka berhak bergelar juara."