Arteta kagum dengan keberanian Martinelli

Oleh Staff Writer 22 Januari 2020 797
Arteta kagum dengan keberanian Martinelli
Mikel Arteta menabik keberanian dan kesungguhan Gabriel Martinelli selepas pemain muda itu menjaringkan gol luar biasa ketika Arsenal mengikat Chelsea 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Martinelli melakukan larian dari kawasannya untuk menjaringkan gol daripada serangan balas pantas selepas sejam perlawanan untuk memadamkan jaringan penalti Jorginho dalam babak pertama.

Pertahanan Arsenal, David Luiz, dibuang padang selepas menjatuhkan Tammy Abraham untuk Jorginho menjaringkan sepakan penalti itu tetapi The Gunners bangkit untuk meraih satu mata meskipun ketinggalan buat kali kedua.

Hector Bellerin menewaskan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, dengan penyudah kaki kirinya selepas Cesar Azpilicueta meletakkan Chelsea kembali di depan pada minit ke-83.

Pengurus Arsenal, Arteta, memuji perwatakan anak buahnya dan kagum dengan kematangan Martinelli selepas pemain berusia 18 tahun itu terus mencuri perhatiannya sejak tiba dari Brazil, Julai lalu. 

"Untuk beraksi di stadium ini dengan 10 pemain dan berdepan Azpilicueta, yang saya fikir antara pertahanan terbaik dalam liga ini, dia tidak gentar untuk menghadapinya.

"Anda memerlukan keberanian untuk melakukannya.

"Kemudian tenaganya. Saya beberapa kali mahu mengeluarkannya kerana dia kelihatan letih.

"Dia mengalami kekejangan tetapi seminit kemudian, dia kembali berlari sejauh 60 ela.

"Bukan hanya dia. Saya fikir Laca (Alexandre Lacazette) bermain di tahap yang amat baik walaupun tidak menjaringkan gol.

"Dan Nico (Nicolas Pepe) juga, dan semua pemain yang dibawa masuk.

"Mereka berusaha dengan gigih dalam latihan untuk meyakinkan kami kerana mereka mahu diturunkan.

"Apabila saya mengarahkan mereka untuk membuktikannya di atas padang, inilah yang saya maksudkan," katanya.

Arteta terpaksa menggunakan Granit Xhaka sebagai pertahanan tengah selepas kehilangan Luiz dan dia memuji bekas kapten itu kerana memiliki kekuatan mental meskipun dikaitkan untuk meninggalkan Arsenal musim ini.

"Saya cuba meyakinkannya bahawa inilah tempat terbaik untuknya, saya mahu memberikannya peluang untuk kembali menikmati bola sepak.

"Dan segala arahan saya kepadanya, dalam setiap sesi latihan, dia tidak teragak-agak untuk melakukannya.

"Hari ini, apabila saya meletakkannya di sana, saya tidak pasti sama ada dia boleh melakukannya tetapi dia memberikan segala-galanya untuk melakukannya dan dia amat hebat," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen