Mikel Arteta berasakan Arsenal perlu belajar menoktahkan kemenangan jika mereka mahu tergolong dalam kelompok utama saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jaringan Jamie Vardy pada minit ke-84 membenarkan Leicester seri 1-1 di Stadium Emirates awal pagi tadi, mengakhiri kemenangan berturut-turut Arsenal dalam saingan liga.

Kemenangan akan melonjakkan The Gunners, yang mendahului menerusi gol daripada Pierre-Emerick Aubameyang dalam separuh masa pertama tetapi gagal menampilkan aksi yang lebih cemerlang dalam separuh masa kedua, ke tangga keenam.

Bagaimanapun, kad merah Eddie Nketiah memaksa tuan rumah beraksi dengan 10 pemain bagi baki 15 minit waktu permainan, dan ketua jurulatih, Arteta, kecewa dengan kegagalan pasukan untuk segera menoktahkan kemenangan.

"Kami perlu belajar, apabila berdepan lawan seperti Leicester, anda perlu segera mematikan permainan," kata Arteta.

"Ini merupakan kali keempat kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan saya tidak suka dengan cara kami dibolosi."


"Saya sangat berbangga dengan pasukan dan gaya permainan yang berjaya mendominasi pasukan lawan dalam separuh masa pertama.

"Tetapi sejujurnya kami berpeluang untuk mendahului tiga atau empat gol dan menoktahkan kemenangan. Ia adalah perkara yang perlu dilakukan berdepan lawan seperti Leiceser."