Pertahanan Chelsea, Marcos Alonso, mendedahkan dia semakin hampir untuk menandatangani kontrak baru bersama The Blues, sekali gus menamatkan spekulasi perpindahan ke Real Madrid atau Barcelona.

Alonso dikaitkan dengan kedua-dua gergasi Sepanyol itu selepas menunjukkan perkembangan selaku antara bek kiri terbaik dunia ketika di Stamford Bridge.

Namun, pemain berusia 27 tahun itu, yang menerima panggilan skuad kebangsaan Sepanyol buat kali pertama awal tahun ini, tidak akan mengikut jejak langkah bekas penjaga gol Chelsea yang menyertai Los Blancos, Thibaut Courtois.

"Apa yang boleh saya katakan, saya tenang dan gembira di Chelsea," katanya.

"Kelab semestinya menghargai saya kerana saya masih memiliki baki kontrak selama dua tahun dan mereka menawarkan kontrak lanjutan. Kami sudah memasuki fasa perbincangan yang seterusnya.

"Jika segala-galanya berjalan lancar, saya akan memperbaharui kontrak sebelum akhir bulan ini. Mungkin beberapa hari lagi," katanya.

Walaupun disenaraikan dalam skuad Sepanyol untuk aksi berdepan Wales dan England, Alonso tidak akan mensia-siakan tempat dalam pasukan kebangsaan dan bersedia untuk beraksi di posisi berlainan jika perlu.

"Saya tiba buat kali pertama ketika berdepan Argentina sebelum Piala Dunia dan kini kembali bersama Luis Enrique," tambahnya.

"Kami sedar bahawa untuk terus melibatkan diri, anda harus mengekalkan aksi terbaik buat kelab bagi menjadikan ia mengikut perancangan pengurus.

"Apa yang memacu saya adalah beberapa kesinambungan kerana ini adalah panggilan kedua berturut-turut buat saya. Ia juga ditambah dengan aksi dalam bulan September yang lancar dan disudahkan dengan keputusan yang bagus. Ia juga membantu.

"Saya sering beraksi selaku bek kiri kecuali untuk sesetengah bahagian di Itali ketika bersama Fiorentina, di mana mereka meletakkan saya di sebelah kanan. Secara semulajadi, saya sesuai di bahagian kiri. Jika saya perlu bermain di bahagian kanan kerana pasukan memerlukannya, saya akan lakukan. Namun, sudah pasti ia bukan tempat saya."

Sepanyol akan berdepan Wales dalam aksi persahabatan pada awal pagi Sabtu ini sebelum melayan kunjungan England bagi saingan Liga Negara-Negara UEFA, Isnin depan.