Allardyce sedia beri Barkley peluang beraksi 

Oleh Penulis Jemputan 23 Disember 2017 290
 Allardyce sedia beri Barkley peluang beraksi 
Rundingan kontrak baru Ross Barkley yang masih samar tidak akan menghalang Sam Allardyce daripada menurunkan tonggak England itu sebaik dia pulih bulan depan, menurut pengurus Everton itu. 

Barkley belum berkesempatan untuk beraksi musim ini berikutan dilanda hamstring jangka panjang, dan dalam masa sama dia juga dikaitkan dengan perpindahan.

Kontrak perancang Everton itu akan tamat pada akhir musim ini dan dia boleh meninggalkan kelab itu secara percuma andai tidak bersetuju dengan perjanjian baru yang ditawarkan. 

Barkley menolak tawaran baru musim lalu dan hampir menyertai Chelsea pada Ogos lalu sebelum kecederaan menyebabkan hajat itu tidak tertunai.

Allardyce mengakui Barkley kini mempunyai kuasa untuk membuat pilihan sebelum mencadangkan pemain itu mungkin berhijrah pada bulan depan. Begitupun pengurus itu mengatakan "pintu selalu terbuka" sebelum mereka memuktamadkan keputusan.

"Ross mengalami sedikit kesukaran dalam latihan dan saya fikir jika semuanya berjalan dengan cara seperti itu, dia akan kembali pada awal bulan depan," kata Allardyce kepada pemberita dalam sidang media menjelang kunjungan ke Chelsea, hari ini. 

"Saya tidak fikir keputusan berada di tangan kami pada saat ini, ia berada di tangan Ross. Dia tahu pintu sentiasa terbuka jika dia mahu bercakap untuk kekal.

"Ia bukan satu kes pintu tertutup, dia akan menentukan hala tujunya, siapa tahu apa yang akan berlaku pada bulan depan?"

Everton telah dikaitkan dengan beberapa pemain menjelang jendela perpindahan Januari, namun pemain Sunderland, Lamine Kone -- yang pernah berada di bawah tunjuk ajar Allardyce di Stadium of Light -- sudah boleh menjangkakan tidak akan menerima panggilan daripada bekas bosnya itu.

"Tidak pada masa ini," kata Allardyce ketika ditanya kemungkinan langkah perpindahan itu. 

"Dia adalah salah seorang pemain yang telah mereka gilap. Dia membantu Sunderland kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), dua musim lalu, sejak itu saya tidak pasti apa yang telah berlaku dalam kerjayanya.

"Itu menimbulkan keraguan mengenai keupayaannya untuk mengekalkan tahap prestasi, saya tidak pasti jika saya berminat atau tidak, dia adalah pemain bola sepak dan pemain yang hebat semasa saya di sana."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen