Sergio Aguero akan terlepas pertembungan 'derby' Manchester ekoran masalah paha yang menimpanya dalam kemenangan ke atas Chelsea, demikian pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengesahkannya.

Aguero terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan itu pada minit ke-77 ketika City menang 2-1 dalam perlawanna Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.

Guardiola memaklumkan kepada wartawan selepas perlawanan itu bahawa dia percaya kecederaan Aguero adalah "buruk" tetapi tidak dapat menawarkan butiran lanjut.

Bagaimanapun, dalam sidang akhbarnya menjelang pertemuan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Shakhtar Donetsk awal pagi esok, Guardiola mengesahkan pemain dari Argentina berkenaan akan terlepas aksi selama beberapa minggu.

Ini bermakna penyerang yang telah menjaringkan sembilan gol dalam liga itu bakal terlepas pertemuan dengan Manchester United, 7 Disember ini.

"Ya," Guardiola membalas pertanyaan apakah City akan kehilangan Aguero bagi perlawanan 'derby' itu.

"Dia akan tersisih untuk beberapa perlawanan, saya tidak tahu secara tepat (berapa lama, mungkin) beberapa minggu, tetapi dia akan terpinggir."

Pengurus berbangsa Sepanyol itu tidak dapat mengenal pasti apakah isu sebenar yang dihadapi Aguero tetapi mencadangkan masalah itu berkaitan dengan otot pahanya.

"Secara tepatnya di mana saya tidak tahu, di bahagian hadapan tendonnya (paha)."

Gabriel Jesus bersedia untuk mengetuai jentera serangan City sepanjang ketiadaan Aguero dan pemain Brazil berusia 22 tahun itu, yang sudah mencetak lima gol dalam semua pertandingan setakat ini, yakin bahawa inilah peluang untuknya menyinar.

"Saya tidak gembira kerana Sergio dilanda kecederaan. Saya tidak suka rakan-rakan tercedera tetapi saya berlatih di sini setiap hari dan sudah bersedia untuk beraksi kerana saya mahu meningkatkan permainan. Jadi, ya, saya sudah bersedia," kataya.

"Ia bukan mudah (untuk menunggu peluang). Saya seorang pemain yang mahu beraksi, mahu berusaha dan bertambah baik. Saya tidak berasa gembira memandangkan saya mahu bermain tetapi saya menghormati segala-galanya dan terus berusaha.

"Saya perlu melakukannya sepanjang masa kerana saya berada di kelab besar di samping pemain handalan dan pengurus yang hebat, jadi saya perlu berusaha dan meningkatkan prestasi sebanyak mungkin."

Walaupun bertindak sebagai pilihan kedua kepada Aguero, Jesus menegaskan bahawa dia tidak menyesal berpindah ke City pada Januari 2017.

"Apabila saya memutuskan untuk datang ke City, saya tahu ia akan menjadi sukar kerana kami memiliki Sergio yang merupakan penjaring terbanyak kelab dan menyumbat gol dalam setiap perlawanan, saya sedar akan hal ini," tambahnya.

"Saya mempunyai peluang untuk bermain di bawah bimbingan Pep bersama-sama pemain handalan di kelab besar, itulah sebabnya saya ke mari, untuk menikmatinya dan belajar."