Penerjun negara terus menyinar di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil apabila mendominasi acara 3 meter papan anjal individu lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, hari ini.

Atlet negara, Ooi Tze Liang, jelas bukan tandingan lawan apabila memenangi pingat emas dengan catatan 458 mata, jauh mengatasi pungutan mata pemenang gangsa dari Singapura, Timothy Lee Han Kuan, 386.35.

"Saya amat gembira dengan prestasi saya pada hari ini.

"Saya mahu mengucapkan tahniah serta gembira dengan Amsyar kerana berjaya melakukan terjunan yang sukar dengan baik pada hari ini.

"Tekanan untuk mempamerkan aksi terbaik di laman sendiri tetap ada.

"Saya memberikan tumpuan pada setiap terjunan bagi meraih emas untuk Malaysia," kata Tze Liang.

Pingat perak turut menjadi milik negara menerusi Ahmad Amsyar Azman dengan 432 mata.

"Saya gagal melakukan terjunan yang cemerlang pada awalnya.

"Saya tidak menjangkakan mampu melakukan aksi yang lebih baik dalam terjunan ketiga sehingga keenam.

"Saya bersyukur dengan kejayaan ini," kata Amsyar.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.