Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia untuk menghadapi Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Serentak dengan itu ialah pengumuman sasaran 111 pingat emas untuk Sukan SEA dan 103 emas untuk Sukan Para ASEAN bagi kontinjen negara.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, berkata sasaran yang ditetapkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, itu adalah wajar berdasarkan prestasi semasa.

"Ia tidak mengejutkan sebab kami telah mengatakan bahawa kami perlu sekurang-kurangnya setanding dengan (pencapaian dalam) Sukan SEA Kuala Lumpur 2001, iaitu 111 pingat emas," katanya.

Mengulas mengenai sasaran untuk Sukan Para ASEAN, Beng Choo berkata: "Berdasarkan semangat yang ditunjukkan, saya fikir mereka juga mampu mencapai sasaran itu."

Selain itu, tiga juara dunia diberi penghormatan untuk membawa bendera Malaysia ketika perarakan masuk kontinjen negara dalam upacara pembukaan temasya itu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Ogos ini.

Atlet terbabit adalah jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, ratu terjun, Cheong Jun Hoong, dan pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari.

Azizulhasni meraih gelaran juara dunia acara keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong pada April tahun ini.

Jun Hoong pula memecah dominasi China dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest selepas memenangi acara 10m platform wanita bulan lalu.

Sementara itu, Mohd Al-Jufferi muncul juara kelas Putra E dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, Disember tahun lepas.