Ketua jurulatih skuad luncur air negara, Hanifah Yoong, memberi gambaran akan ada kejutan bakal berlaku dalam skuad negara menjelang saingan Sukan SEA bulan depan.

Ketika Aaliyah Yoong menjadi tumpuan untuk menyumbang dua pingat emas Sukan SEA, Hanifah berasakan seorang lagi atlet muda negara, Aiden Yoong, juga mampu mencipta kejutan berdasarkan peningkatan drastik prestasinya sejak kebelakangan ini.

Ia semakin jelas apabila atlet yang baru berusia 11 tahun itu berada di kedudukan kedua keseluruhan bagi acara tricks dalam Piala Sunset Lakes Bawah 17 tahun di Florida, Amerika Syarikat, Mei lalu.

"Aiden sedang mempelajari beberapa teknik baru untuk membantunya mengutip lebih banyak mata," kata Hanifah.

Aiden, yang bakal membuat kemunculan kali kedua dalam Sukan SEA, menegaskan dia mahu memperbaiki kutipan pingat di Singapura 2015, di mana dia beroleh pingat gangsa dalam acara yang sama.

"Saya dapat berasakan tekanan untuk beraksi tetapi yakin untuk menghasilkan kejayaan dalam Sukan SEA nanti," katanya.

Sementara itu, Adam Yoong bakal menjadi peserta termuda, namun itu tidak menghalang anak bongsu Hanifah ini memasang cita-cita yang tinggi untuk cemerlang dalam penampilan pertamanya dalam saingan Sukan SEA.

"Sebelum ini, saya telah mengalami kecederaan belakang tetapi saya dapat beraksi dengan baik," katanya.