Hajat skuad sepak takraw negara untuk menamatkan kemarau 26 tahun pingat emas dalam acara berpasukan lelaki Sukan SEA bukan sekadar musnah, malah dirobek-robekkan, apabila tewas di tangan Thailand 3-0 di Stadium Tertutup Titiwangsa, hari ini.

Bukan setakat itu, ketiga-tiga regu negara mengalami kekalahan straight set, dengan empat daripada kekalahan set berkenaan adalah pada mata 10 atau lebih rendah – mendedahkan kelemahan ketara skuad negara yang ditampilkan kali ini.

Malah, ia menimbulkan persoalan apakah sikap berahsia Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebelumnya yang enggan mendedahkan senarai pemain regu negara sehingga hari pertandingan, adalah untuk merahsiakan kekuatan daripada dibaca lawan atau menyembunyikan kelemahan sebenarnya.

Malaysia, yang mempunyai kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, tewas bermula dengan regu utama, Syahir Rosdi, Hanafiah Dollah dan Farhan Adam, 21-15, 21-17.

Skuad negara sudah berada di ambang kekalahan apabila regu kedua negara, Said Ezwan Said De, Norhafizi Abdul Razak dan Safarudin Abu Bakar, tumpas 21-10, 21-6.

Regu ketiga yang dibarisi Meor Mohd Zulfikar Mat Amin, Syazreen Qamar dan Alan Alias juga kalah mudah 21-9, 21-8.

Didahului oleh kekalahan 2-1 kepada Indonesia malam tadi, Malaysia kesudahannya hanya mendapat pingat gangsa sebagai habuan.

Untuk rekod, hanya empat pasukan yang mengambil bahagian dalam acara regu berpasukan, iaitu Malaysia, Thailand, Brunei dan Indonesia, dengan menggunakan format liga satu pusingan.

Di Singapura dua tahun lalu, Malaysia terpaksa akur kepada Thailand apabila tewas dalam perlawanan terakhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara regu berpasukan lelaki adalah dalam Sukan SEA Manila 1991.