Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, mengumumkan program Kita Juara yang menjadi kunci kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 perlu diteruskan bagi menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, tahun depan.

Sejumlah 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa yang dimenangi kontinjen negara telah meletakkan Malaysia di kedudukan teratas carta keseluruhan temasya KL2017, sekaligus membuktikan betapa hebat Malaysia beraksi di laman sendiri.

Persiapan rapi menerusi program Kita Juara sejak dua tahun lalu membuahkan hasil dan ia patut diteruskan untuk menghadapi Sukan Komanwel, lapan bulan lagi.

"Insya-Allah program itu akan diteruskan dengan 'jenama' lain ke arah Sukan SEA 2019 dan dalam masa sama, jika atlet kita berjaya membuktikan mereka layak dipertimbangkan ke dalam Program Podium, kami akan mengesyorkan nama mereka," kata Shapawi.

Sejumlah 18 jenis sukan dianggap cemerlang kerana berjaya mengatasi sasaran pingat seperti terjun, silat, olahraga dan boling padang di mana skuad terjun muncul sebagai penyumbang emas terbanyak dengan 13 emas.

Jika momentom itu diteruskan, tidak mustahil Malaysia mampu mencipta kejayaan lebih besar di Gold Coast, April depan dan perkara itu diakui oleh ketua kontinjen negara, Datuk Marina Chin.

"Atlet-atlet begitu komited sehingga ada yang mengorbankan pengajian mereka demi membanggakan rakyat Malaysia. Ada antara mereka yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas ini. Semuanya demi Malaysia," ujar Marina.