Skuad ping pong negara menamatkan kempen KL2017 dengan mencapai sasaran tetapi sudah perlu memikirkan bagaimana untuk meneruskan kesinambungan program ketika karier dua pemain paling senior berada pada penghujungnya.

Shakirin Ibrahim dan Ng Sock Khim memainkan peranan besar membantu Malaysia untuk memperoleh dua gangsa pada hari terakhir acara ping pong menerusi saingan berpasukan.

Bukan sahaja aksi dalam gelanggang, malah pengaruh mereka di luarnya banyak dalam meningkatkan profil sukan ini.

Ini adalah Sukan SEA terakhir buat dua pemain itu tetapi skuad negara masih memerlukan khidmat mereka untuk kempen penting pada tahun depan seperti Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

"Saya kena dengar pendapat mereka. Mengikut pandangan saya, saya rasa Shakirin telah melakukan yang terbaik.

"Sock Khim pula selama ini dia sering mengalami kecederaan, jadi saya rasa ini masanya untuk menukar pemain muda," kata ketua jurulatih negara, Beh Lee Wei.

Aksi dalam KL2017 juga menyerlahkan sesuatu yang membimbangkan di mata Lee Wei ketika membincangkan apa yang boleh diperbaiki pemain negara.

Selain perlu lebih bercita-cita besar, aspek mental ketika perebutan pingat atau kejuaraan perlu diperincikan.

"Pemain kita nampak agak lembut dalam percubaan untuk meraih mata. Saya tidak tahu sama ada kurang keyakinan atau mental tidak kuat." tambah Lee Wei.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.