Skuad olahraga negara meraih pencapaian terbaik sejak 1999 selepas menghimpunkan keseluruhan lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa dalam Sukan SEA Ke-29 ini.

Dua tahun lalu di Singapura, Malaysia hanya memperoleh tiga emas, dua perak dan sembilan gangsa.

Sebanyak empat rekod Sukan SEA berjaya dipecahkan manakala tujuh rekod kebangsaan diperbaharui oleh atlet negara sepanjang temasya kali ini.

Bagi meraikan kejayaan itu, kem olahraga negara, termasuk ketua jurulatihnya, Zainal Abas, dan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, membotakkan kepala.

Malaysia menutup hari terakhir saingan olahraga dengan memenangi dua emas menerusi Nauraj Singh Randhawa dalam acara lompat tinggi lelaki dan Rayzam Shah Wan Sofian yang mengungguli acara 110m lari berpagar.

Nauraj melakar kejayaan dengan ketinggian 2.24m untuk mempertahankan emas yang dimenangi di Singapura sementara Rayzam menamatkan kemarau emas 10 tahun negara dalam acaranya dengan catatan masa 13.83s.

Selain itu, Raja Nursheena Raja Azhar menyumbang perak dalam 100m lari berpagar, memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang dimenanginya di Myanmar pada 2013.

Atlet lompat tinggi senior negara, Lee Hup Wei, yang mencatat ketinggian 2.24m dan rekod kebangsaan dicipta Choo Kang Ni menerusi lempar cakera menghadiahkan pingat perak buat negara.

Turut melakar kejutan ialah K. Prabudass dalam acara 5,000m yang meraih catatan masa 14:57.43s untuk perak dan kuartet 4x400m wanita negara menyumbang gangsa terakhir.