Pemanah wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, meraih pingat gangsa dalam acara compound individu wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas menjinakkan wakil dari Indonesia, Dellie Threesyadinda, 143-141 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, sebentar tadi.

Meskipun berjaya memecahkan rekod kejohanan serta memperbaharui rekod kebangsaan menerusi catatan 696 mata ketika aksi kelayakan, dia gagal menyaingi cabaran wakil dari Vietnam, Chau Kieu Oanh, di peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, sokongan daripada hampir 2,000 penyokong memberikan semangat baru buatnya apabila dia bangkit untuk memastikan sekurang-kurangnya menduduki tempat ketiga walaupun Dellie mempamerkan aksi yang mencabar.

"Pertama sekali, saya ingin meminta maaf kerana tidak dapat mempertahankan emas compound individu wanita tetapi saya sudah cuba yang terbaik.

"Cuma dalam saingan separuh akhir, pihak lawan lebih baik daripada saya pada hari ini.

"Saya akan bersaing dalam dua lagi acara dan saya akan tebus emas untuk negara," katanya.

Sementara itu, hasrat pemanah lelaki negara, Zulfadhli Ruslan, untuk menghadiahkan gangsa buat Malaysia lebur apabila tewas 154-153 di tangan Paul Marton dari Filipina dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Setakat ini, Malaysia mengutip satu emas dan satu gangsa pada hari ketiga kejohanan, selepas skuad sepak takraw terlebih dahulu \menghadiahkan emas pertama menerusi disiplin linking dalam chinlone.