Kemampuan mengawal tekanan menjadi kunci kejayaan skuad compound negara meraih dua pingat emas pada hari kedua acara itu dalam Sukan SEA Ke-29 di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Jurulatih skuad negara, Mohd Zaki Mahazan, berkata pencapaian itu menjadi bukti pemanah Malaysia antara yang terbaik di rantau ini.

"Inilah cabaran yang perlu dihadapi dan hari ini atlet-atlet negara fokus sehingga tamat saingan, tidak seperti sebelum ini," kata Zaki.

Ramai mula sangsi dengan kemampuan pemanah negara untuk bangkit selepas bergelut pada hari pertama.

Namun, jangkaan itu meleset apabila Malaysia mara ke final compound berpasukan lelaki dan wanita.

Skuad wanita menerusi Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Saritha Cham Nong dan Nurul Syazhera Mohd Asmi menyumbang emas pertama selepas menewaskan Vietnam 28-27 menerusi shoot off. Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 235 selepas empat end.

Selepas itu, skuad lelaki negara memastikan emas kedua apabila menewaskan Singapura dalam final.

Mohd Juwaidi Mazuki, Lee Kin Lip dan Zulfadhli Ruslan, meraih kemenangan selesa 228-222 untuk mempertahankan emas acara itu.

Kejayaan ini bermakna skuad compound mengumpul dua emas, satu perak dan satu gangsa.