Pendekatan skuad kriket negara mengkaji permainan Thailand ketika aksi mereka menentang Myanmar semalam membuahkan hasil.

Malaysia berjaya mencipta kemenangan ke atas skuad negara jiran itu dengan kelebihan 160 larian dalam saingan 50 overs Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Kinrara Oval, petang tadi.

Thailand memberikan tekanan awal kepada Malaysia apabila memaksa skuad negara untuk mencari kelebihan menerusi larian di awal permainan.

Permulaan yang berhati-hati daripada skuad yang diketuai Anwar Arudin bertukar agresif apabila aksi pertengahan inning bermula.

Selepas melengkapkan 50 overs, Malaysia berjaya mencipta 265 larian.

"Disebabkan agak mendung pagi tadi, jadi wiket agak lembab.

"Kami dah beritahu pemain supaya tidak terburu-buru membuat larian.

"Selepas cuaca menjadi agak panas, kami berjaya bangkit dan 265 larian adalah rekod yang baik," kata pengurus pasukan negara, R. Shanker.

Malaysia juga cemerlang ketika giliran di lapangan selepas berjaya menghalang Thailand daripada melengkapkan inning mereka.

Selepas 35 overs, Malaysia mengeluarkan kesemua batsmen mereka yang hanya mencatatkan 105 larian.

"Kami sempat melihat keupayaan pasukan Thailand dan membuat ulang kaji, sekaligus tahu bagaimana untuk menghadapi beberapa pemain tertentu mereka.

"Disebabkan itu, kami dapat mengeluarkan mereka dengan kadar yang cepat," tambahnya.