Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Institut Sukan Negara (ISN) turut merancang pembelian teknologi terkini, iaitu terowong angin, bagi membantu Azizulhasni Awang dan atlet lain dalam memburu pingat emas sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya sedang mempertimbangkannya kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

"Terowong angin bukan sahaja boleh digunakan untuk sukan berbasikal tetapi juga sukan lain.

"Justeru, kami mungkin akan membuat keputusan dalam masa terdekat untuk membuat pelaburan tersebut," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Pembelian terowong angin bernilai RM30 juta itu menerusi Program Podium adalah antara reaksi ISN berikutan kejayaan Azizulhasni muncul juara dunia acara keirin di Hong Kong, malam tadi.

"Teknologi itu sememangnya spesifik untuk sukan berbasikal.

"Ia akan memberi kelebihan kepada Azizulhasni seperti yang dikehendakinya," kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, turut bersependapat dan menganggap teknologi terowong angin itu akan membawa manfaat besar kepada atlet negara.

"Acara berbasikal trek muncul acara kegemaran berbanding lebuh raya.

"Dengan adanya velodrom di Nilai dan Ipoh, ini merupakan pemangkin untuk sukan berbasikal trek negara pada masa akan datang," ujarnya.

Selain itu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, gembira dengan hasrat pelumba yang berpangkalan di Australia itu untuk turut serta dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Dengan keinginannya untuk mengambil bahagian dalam Sukan SEA 2017, ia merupakan inspirasi buat rakyat Malaysia kerana keinginannya untuk memenangi pingat emas temasya itu.

"Jadi, kami memberinya peluang untuk mengambil bahagian dengan izin Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM)," katanya.

Dalam pada itu, isteri Azizul, Athiyah lyana Abd Samat, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan padu terhadap suaminya sepanjang tempoh 10 tahun ini sehingga bergelar juara dunia.

Ia menjadi kekuatan kepada keluarga mereka untuk menyokong perjuangan Azizulhasni dalam mengejar gelaran juara dunia.

Malah, mereka sanggup menghadapi kepayahan berulang alik ke Melbourne, Australia, demi memastikan Azizulhasni berjaya dalam pelajaran dan sukan.

"Terima kasih Malaysia, kami sekeluarga terlalu gembira dengan kejayaan Azizulhasni Awang, semalam.

"Kini terbukti, saiz bukan ukuran.

"Azizulhasni kini ialah juara dunia," katanya.