Skuad hoki dalam dewan lelaki negara membuka saingan Sukan SEA Ke-29 dengan kemenangan besar ke atas Filipina 16-0 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Kapten pasukan, Muhammad Najib Abu Hassan, membawa Malaysia berada di depan seawal minit keempat sebelum Mohd Shafiq Yaacob menambah jaringan kedua.

Malaysia, yang dibarisi pemain skuad pembangunan, akhirnya menamatkan separuh masa pertama dengan 7-0 dan jaringan selebihnya dihasilkan pada separuh masa kedua.

Shafiq muncul penjaring terbanyak perlawanan dengan empat gol untuk membantu Malaysia meraih kemenangan dalam acara yang kali pertama dipertandingkan dalam Sukan SEA.

Malaysia seterusnya akan bertemu Vietnam pada malam ini, sebelum mengharungi cabaran getir menentang Thailand esok, Indonesia pada Rabu sebelum menamatkan saingan round robin menentang Singapura pada Khamis.

Dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke perlawanan akhir, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada Sabtu ini.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.