Pasukan futsal wanita negara gagal mengulangi pencapaian pingat gangsa Sukan SEA edisi 2013 di Myanmar selepas dibelasah Thailand 12-0 dalam perlawanan terakhir saingan liga sepusingan untuk menamatkan cabaran dalam temasya KL2017 di tempat keempat, hari ini.

Meskipun berdepan misi mustahil menentang Thailand, skuad wanita negara perlu memburu kemenangan untuk meraih gangsa selepas Vietnam menewaskan Indonesia 2-1 dalam perlawanan terdahulu.

Bagaimanapun, anak buah Muizzudin Haris dilanda mimpi ngeri apabila dibolosi enam gol pada babak pertama, bermula dengan dua sentuhan penyudah Darika Peanpailun seawal minit pertama dan keenam manakala gol sendiri Lovelytha Jelus dua minit kemudian membolehkan lawan mendahului 3-0.

Juara tiga kali berturut-turut itu menambah tiga lagi gol pada minit ke-12, 16 dan 18 masing-masing menerusi Siranya Srimanee, Pacharaporn Srimuang dan Hataichanok Tappakun.

Bersambung babak kedua, skuad wanita negara masih cuba untuk bangkit memberi saingan, namun kehebatan lawan nyata sukar dibendung apabila mereka berpesta jaringan menerusi enam gol lagi.

Dengan kemenangan besar itu, skuad futsal wanita Thailand mempertahankan emas yang dimenangi sejak 2007.

"Saya tidak sangka kami mampu menang 12-0 ke atas lawan, jadi kami cukup gembira, apatah lagi berjaya mempertahankan pingat emas," kata ketua pasukan Thailand, Jirappa Tupsuri.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.