Jurulatih skuad bola sepak B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, menganggap tiada pasukan yang dilabel pilihan dalam pertembungan final walaupun Thailand tampil dengan status juara bertahan dalam temasya KL2017 apabila kedua-dua pasukan berentap bagi merebut ibu emas di Stadium Shah Alam, malam esok.

Skuad muda negara nyata berdepan ujian getir menentang skuad muda Thailand, yang memiliki rekod cemerlang dalam aksi final temasya dwitahunan itu berdasarkan tiga pertembungan terakhir.

Namun, Kim Swee menegaskan aksi perlawanan akhir esok adalah pentas berbeza buat anak buahnya mengulangi pencapaian emas edisi 2011 dan menebus kegagalan meraih perak di bumi sendiri, 16 tahun lalu.

"Di atas kertas, Thailand adalah pasukan pilihan.

"Bukan sahaja bagi skuad muda bahkan juga skuad senior, saya sudah katakan beberapa kali.

"Bagi saya, tiada pasukan pilihan dalam aksi final.

"Kami mahu mencapai keputusan yang baik beraksi di laman sendiri," kata Kim Swee yang tidak gusar kehilangan seorang penyerang, S. Kumaahran, ekoran kecederaan kerana baginya, pemain sedia ada mampu menggalas tugas berdepan Thailand.

Sementara itu, kem Thailand nyata mengidamkan kejuaraan hatrik selepas memenangi emas dalam edisi 2013 dan 2015.

Tatkala barisan pemain skuad Gajah Putih itu bebas daripada kecederaan mahupun penggantungan pemain, lawan mengisytiharkan misi hidup mati bertemu Malaysia.

"Kami tidak gentar dengan kehadiran ribuan penyokong tuan rumah, saya percaya pemain mampu beraksi dengan baik dan kekal fokus sepanjang pertemuan itu nanti.

"Jadi, sememangnya menjadi misi kami untuk mempertahankan pingat emas kali ini," kata penolong jurulatih skuad B-22 Thailand, Naruphol Kaenson.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.