Presiden Kelab Hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Datuk Amir Azhar, memberi jaminan Gelanggang Hoki Tunku Abdullah, Bangi akan melalui penambahbaikan sebelum Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 bermula 3 Januari ini.

Untuk memastikan kelancaran dalam saingan LHM musim depan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini menjalankan pemeriksaan venue UniKL yang dirasmikan 20 Ogos lalu.

Stadium hoki pertama milik uniKL itu memiliki beberapa kelemahan yang harus dilakukan penambahbaikan bagi menjamin keselesaan pemain.

Enam hari menjelang saingan, Amir bagaimanapun melaungkan keyakinan segala kerja penyelenggaraan akan dapat disiapkan sepenuhnya sebelum saingan bermula.

"Ia merupakan idaman setiap pasukan untuk memiliki stadium sendiri. Saya telah memberitahu kepada pemain-pemain untuk menggunakan padang ini sebagai kelebihan ketika menerima kunjungan pasukan lawan," kata Amir.

Menurut Pengarah Kejohanan KHM, Jusvir Singh, penambahbaikan gelanggang UniKL itu bertujuan untuk mengiktiraf ia sebagai venue utama LHM 2019.

"Setakat ini, padang ini boleh digunakan dan terdapat beberapa perkara yang harus ditambah baik sebelum saingan bermula," katanya.