Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, mahu anak buahnya melupakan permulaan cemerlang Trofi Juara-Juara Asia kerana kemenangan ke atas China malam ini akan mendekatkan Malaysia dengan sasaran ke separuh akhir.

Kejayaan menumbangkan juara bertahan, Pakistan, 4-2 malam tadi sudah berlalu.

Fokus kini adalah untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut kerana berdasarkan perancangan, tiket ke separuh akhir hampir pasti dalam genggaman.

Justeru, Van Huizen menuntut pemain-pemainnya kembali fokus kerana tugas malam ini lebih penting.

"Setiap mata adalah penting. Lagi cepat kami mengutip mata, ia akan mengurangkan tekanan terhadap pasukan.

"Kami berharap dapat mengutip mata maksimum. Jadi, pemain perlu kembali cergas untuk menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.

Dalam pertemuan terakhir dengan China dalam separuh akhir Liga Dunia di Belgium tahun lalu, Malaysia menang 3-2.

Selepas itu, majoriti pemain China bersara dari peringkat antarabangsa, sekali gus menyaksikan ramai muka baru yang dibawa ke Kuantan.

"Kami tidak boleh memandang rendah terhadap pasukan China kerana mereka merupakan pasukan yang bagus. Kami akan menganalisis kekuatan China," jelas pemain pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim.

Sementara itu, kapten hoki negara, Sukri Mutalib, menegaskan rakan sepasukannya perlu bersiap sedia sepenuhnya untuk mengutip mata berdepan China.

"Pemain perlu betul-betul bersedia berdepan China. Apa pun yang berlaku, kami perlu mendapatkan mata, tidak kira menang atau seri," jelasnya.