Perancang utama skuad hoki negara, Fitri Saari, berdepan tugas berat bagi menggerakkan jentera tengah apabila berdepan tonggak Belanda, Jeroen Hertzberger, yang membantu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjuarai Piala TNB 2018 menjelang aksi sulung Piala Dunia di Bhubaneswar, India esok.

Jentera tengah negara dijangka bekerja keras menentang Belanda yang dibarisi pemain berkelas dunia kerana selain Hertzberger, lawan turut dibarisi Sander De Wijn yang turut menyarung jersi UniKL serta penyerang muda, Thierry Brinkman, yang semakin mencipta nama di Eropah.

Gabungan itu sudah pasti mengundang masalah buat pemain negara di Stadium Kalinga, esok.

"Kami tahu Belanda adalah pasukan pilihan berbanding Malaysia, jadi tiada tekanan. Kami hadir untuk mendapatkan keputusan seri dan jika kalah, ia tidak melibatkan jaringan yang banyak.

"Apa yang penting, kami harus cepat menyesuaikan diri dengan keadaan padang. Kelajuan adalah senjata kami tetapi padang di sini membuatkan kami perlu menguasai permainan, jadi semua pemain perlu cepat belajar," ujar Fitri.

Antara rekod kekalahan terbesar Malaysia di tangan Belanda ialah 1-8 dalam aksi ujian 2016 selain 0-6 ketika Sukan Olimpik 1992.

Namun, tidak mustahil Malaysia mampu mencipta kejutan selepas beberapa pasukan ternama seperti Belgium dan Argentina bergelut untuk menang dalam aksi pembukaan masing-masing.

Keputusan seri sudah dianggap kejayaan besar memandangkan Belanda merupakan pasukan terkuat Kumpulan D yang turut membabitkan Jerman dan Pakistan.