Empat pemain hoki negara mendapat pelepasan menyertai Liga Oman, dengan penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, dan pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abdul Rahim, akan berganding bahu dalam Kelab Hoki Al-Nasr.

Kehadiran Tengku Tajuddin dan Razie dijangka meletakkan kelab itu sebagai pencabar utama Liga Oman yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun, mereka hanya akan berlepas pada Rabu ini bagi menyelesaikan beberapa isu dokumen.

Situasi itu membuktikan pemain Malaysia menjadi rebutan selepas mempamer aksi cemerlang sepanjang 2017.

"Dikatakan ramai pemain kebangsaan Oman bermain dalam pasukan itu, mereka juga mempunyai latar belakang yang baik dengan memenangi banyak trofi. Itu sebab saya pergi ke sana," kata Tengku Ahmad Tajuddin.

Ketika ini, Faizal Saari sedang beraksi bersama Kelab Hoki Sohar dan Fitri Saari juga dijadual berlepas Sabtu ini untuk menyarung jersi Kelab Hoki Al-Seeb.

Secara keseluruhan, 11 pemain Malaysia akan membuat penampilan dalam liga itu, dengan tujuh daripada mereka pernah mewakili skuad kebangsaan atau remaja negara.

"Nasihat saya kepada mereka supaya berjaga-jaga. Jangan terlibat dengan apa-apa kontroversi. Kita tidak mahu mereka masuk pasukan yang salah," kata jurulatih pasukan negara, Stephen Van Huizen.