Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, memanggil semula penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, untuk menghadapi Pusingan Kedua Hoki Liga Dunia di Trinidad & Tobago, yang juga merupakan kelayakan Piala Dunia pada Mac tahun depan.

Van Huizen mengakui Tengku Ahmad Tajuddin masih lagi antara penyerang terbaik negara. Beliau memanggil semula penyerang Terengganu Hockey Team (THT) itu bagi membentuk gandingan mantap bersama penggempur seperti Faizal Saari dan Firhan Ashaari.

Bagaimanapun, buat masa ini Tengku Ahmad Tajuddin perlu menjalani beberapa ujian.

"Kami menawarkan dia peluang untuk menyertai program latihan bersama pasukan kebangsaan untuk mengembalikan kecergasannya.

"Dia tidak berada di tahap pasukan kebangsaan dan situasi pelawaannya seperti Faizal yang baru selesai menjalani penggantungan.

"Kami berasakan dia masih mampu beraksi tapi terpulang kepada dia dan kami akan terus memantaunya," kata Van Huizen.

Tengku Ahmad Tajuddin muncul penyerang terbaik tempatan dalam Liga Hoki Malaysia 2016 dengan meledak sembilan gol.

Dia juga memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa dengan membuat lebih 200 penampilan.

Penyerang kelahiran Perlis itu digugurkan daripada skuad kebangsaan selepas Malaysia gagal melepasi peringkat separuh akhir Liga Dunia di Belgium, tahun lalu.

"Yang pertama sekali, kehadiran Tengku Ahmad Tajuddin, bagi saya, akan mewujudkan persaingan sihat di antara pemain, terutama di bahagian hadapan.

"Yang keduanya, pengalamannya akan membantu pasukan."

"Yang ketiga, terpulang kepada jurulatih kerana beliau mungkin nampak
kemampuan yang ada pada diri Tengku," kata ketua pasukan, Sukri
Mutalib, mengenai kehadiran pemain THT itu di dalam kem kebangsaan.