Tonggak hoki negara, Sukri Mutalib dan Muhammad Razie Abd Rahim, sah menyertai Universiti Kuala Lumpur (UniKL), sekali gus mengukuhkan reputasi gergasi itu sebagai pasukan pilihan Liga Hoki Malaysia (LHM) bermula 11 Januari ini.

Kehadiran Sukri dan Razie menjadi pembakar semangat untuk UniKL memburu empat trofi LHM 2019.

Kedua-dua bekas tonggak Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) itu akan melaporkan diri dalam sesi latihan bermula Isnin ini bagi melengkapkan senarai 20 pemain UniKL.

"Hadirnya dua pemain skuad negara di samping enam pemain antarabangsa akan meningkatkan peluang UniKL memenangi gelaran musim ini," kata penyerang UniKL, Hafiz Zainol.

"Saya berasakan tidak mustahil buat UniKL memenangi satu gelaran dengan barisan pemain yang berkualiti bagi musim 2019," kata pertahanan UniKL, Baljit Singh Charun Singh.

"Razie adalah pakar pukulan sudut penalti yang berkualiti, saya percaya kami akan mampu memberikan cabaran dalam saingan musim depan," kata pertahanan UniKL, Najmi Farizal Jazlan.

UniKL hadir dengan reputasi selaku juara Piala TNB selain meraih tangga keempat liga musim lalu.

Kelab berpangkalan di Bangi itu turut mendapatkan khidmat enam pemain import yang diketuai penjaga gol utama Ireland, David Harte.