Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, tidak mahu rakan sepasukan dibuai kejayaan layak ke Piala Dunia 2018 kerana mereka hanya memiliki tempoh 14 bulan untuk membuat persiapan merebut tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selepas melakar kebangkitan apabila tewas dalam dua aksi pertama kepada Argentina dan England dalam Liga Hoki Dunia Separuh Akhir di London, Malaysia mempamerkan persembahan terbaik sehingga mara ke pusingan separuh akhir.

Kejayaan menempah slot empat pasukan terbaik melayakkan mereka ke saingan Piala Dunia 2018 dan Sukri berbangga dengan pencapaian Malaysia.

"Kami telah mencapai sasaran kami melayakkan diri ke Piala Dunia. Malaysia tewas kepada pasukan yang beraksi lebih baik daripada kami.

"Saya sangat berbangga dengan usaha rakan-rakan sepasukan apabila bangkit daripada kekalahan dalam dua perlawanan awal dan mengakhiri saingan di tempat keempat," katanya.

Dalam meraikan kejayaan itu, Sukri turut menegaskan bahawa Malaysia perlu kembali membuat persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Asia 2019 untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sukan Asia akan menjadi cabaran kami seterusnya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik."

Saingan Liga Hoki Dunia Separuh Akhir di London berakhir dengan juara menjadi milik Belanda, diikuti Argentina dan England selain Malaysia di tempat keempat.

Malaysia turut berbangga dengan kejayaan S. Kumar dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Bintang Argentina, Gonzalo Peillat, muncul pemain terbaik kejohanan di samping meraih anugerah penjaring terbanyak dengan 12 gol.