Kapten hoki negara, Sukri Mutalib, enggan menuding jari terhadap mana-mana pemain susulan penyingkiran dalam separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia kerana ada tugas penting perlu diselesaikan petang ini.

Tidak mahu nasib Malaysia bertambah malang di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, Sukri mahu pemain segera fokus menentang Korea Selatan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat untuk mengekalkan rekod menaiki podium sejak tiga edisi awal.

Beberapa pemain nyata kecewa apabila impian untuk mencipta sejarah layak ke final buat kali pertama tidak kesampaian selepas tewas di tangan Pakistan menerusi penentuan pukulan penalti dalam separuh akhir.

"Lima pemain kita sangat berani kerana mengambil penalti 'shoot out', saya tetap menghormati mereka dan tetap berada di belakang mereka.

"Masih 50-50 (Malaysia-Korea Selatan) kerana keempat-empat pasukan terbaik dalam kejohanan ini hampir sama. Apa yang penting, kami perlu tengok balik perlawanan menentang Korea Selatan," katanya.

Sementara itu, Korea Selatan juga berhajat besar apabila skuad pilihan ketiga ini mahu membawa pulang sesuatu dalam penampilan sulung kejohanan selepas tewas di tangan India, juga menerusi penentuan penalti.

"Jika meraih tangga ketiga, ia akan menjadi kejayaan besar kerana kami tidak membuat persiapan rapi. Apatah lagi berdepan pasukan hebat seperti Malaysia, ia akan menjadi perlawanan yang menarik," kata kapten Korea Selatan, Jung Manjae.

Korea Selatan tewas 3-5 kepada India pada penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam aksi sebenar perlawanan sementara Malaysia pula akur di tangan Pakistan 3-2 selepas terikat 1-1 dalam aksi sebenar.

Perlawanan merebut tempat ketiga dan keempat akan bersiaran secara langsung jam 6 petang ini di Astro Arena saluran 801 & 802 HD.

Pertarungan final di antara India dan Pakistan pula bermula jam 8.15 malam.