Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, akur melepaskan pemain berpengalaman, Fazilla Sylvester Silin, bagi menghadapi saingan Piala Asia demi kepentingan pemain itu dalam Sukan Asia 2018 nanti.

Seolah-olah akur dengan situasi yang tidak menyebelahinya, Dhaarma tampak kekurangan dalam pasukannya untuk memburu slot ke Piala Dunia.

Perkara itu semakin jelas apabila Dhaarma terpaksa menggugurkan Fazilla daripada menyertai Piala Asia di Kakamigahara, Jepun selain ketiadaan Nor Hasliza Md Ali yang sedang mengandung.

Malah, sasaran Dhaarma kini lebih kepada kepentingan Sukan Asia Indonesia pada Ogos tahun depan, dengan mengharapkan watak penting skuad wanita itu kembali menyarung jersi negara.

"Seperti dimaklumkan oleh Jabatan Bomba, Fazilla perlu meneruskan kursus bomba selama enam bulan. Ia wajib untuk menjadi pegawai bomba," kata Dhaarma.

Bagaimanapun, Dhaarma tetap optimis dengan pemain-pemainnya untuk mengatasi pencapaian terbaik skuad wanita dalam Sukan Asia 35 tahun yang lepas apabila Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga.

"Sukan Asia adalah masa yang tepat untuk kami mencuba mendapat tempat di peringkat separuh akhir ataupun cuba memenangi satu pingat.

"Seperti kita tahu, pasukan memenangi pingat pun pada 1982. Itu kali terakhir mereka menduduki tempat ketiga dan selepas itu kita tidak pernah muncul dalam kelompok empat terbaik Asia," tambahnya.