Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mengakui pelantikan Roelant Oltmans sebagai strategi terakhir untuk membawa Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana rayuan mendapatkan slot automatik selaku pemenang pingat perak Sukan Asia Indonesia semakin pudar.

Rayuan KHM makin sukar kerana slot kelayakan Sukan Olimpik adalah di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

KHM akan tetap meneruskan rayuan dalam kongres Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bulan depan walaupun sedar peluangnya tipis.

Sehubungan itu, tindakan melantik Oltmans adalah sebagai persiapan awal jika rayuan Malaysia ditolak.

"Saya harap formula ini akan melonjak semangat pasukan negara.

"Ini gambaran bahawa kami tidak pernah mengalah, di landasan tepat dan boleh meningkat lebih pesat lagi.

"Saya jangkakan selepas ini, kita akan lebih hebat daripada Pakistan dan India," kata Subahan.

Malaysia kini memiliki barisan jurulatih terbaik dunia dengan kehadiran Oltmans, Stephen Van Huizen dan Terry Walsh selaku pengarah teknikal.

Kali Terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik adalah di Sydney pada 2000.