Subahan: KHM mahu hantar lebih ramai pemain beraksi di Eropah

Oleh Ammar Hakim 17 Februari 2020 90
Subahan: KHM mahu hantar lebih ramai pemain beraksi di Eropah
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, tidak panik dengan tindakan beberapa pemain wanita enggan menyambung saingan kelab di Eropah kerana lapan pemain sudah ditawarkan tempat di benua itu.

KHM sedang menguruskan pemergian lapan pemain ke Eropah dalam masa terdekat.

Pemain-pemain seperti penjaga gol, Farah Ayuni Yahya, dan pemain tengah, Nuraini Abd Rashid, ditawarkan beraksi bersama kelab East Grinstead untuk pusingan kedua Liga England.

Begitu juga dengan beberapa pemain di Jerman.

Malah, KHM berhasrat untuk menghantar beberapa pemain lelaki ke Eropah.

"Apabila pemain-pemain beraksi di luar negara, kelab itu bukanlah pasukan utama dan kami mahu memastikan setiap pemain yang meraih pengalaman di luar mendapat aksi yang kompetitif," kata Subahan kepada Nadi Arena.

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan Hoki England dan saya akan ke London dalam beberapa hari untuk bertemu dengan beberapa jurulatih dalam usaha untuk menghantar bukan sahaja pemain-pemain wanita malah barisan pemain lelaki untuk meraih pengalaman di sana."

Minggu lalu dua pemain kebangsaan, Hanis Nadiah Onn dan Raja Norsharina Raja Shahbuddin, mengesahkan tidak akan kembali ke Jerman ekoran urusan peribadi.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen