Status Piala Sultan Johor jadi persoalan selepas pembatalan Piala Sultan Azlan Shah dengan pemangku Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Majid Manjit Abdullah merancang keputusan akan dibuat dalam tempoh tiga minggu lagi.

Persatuan Hoki Johor mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum buat keputusan mengenai status kejohanan hoki membabitkan saingan umur B-21 itu.

Buat masa ini, empat negara sudah mengesahkan penyertaan iaitu juara bertahan, Great Britain, India, Australia dan tuan rumah, Malaysia.

Berbeza dengan Persatuan Hoki Perak yang sudah mengumumkan pembatalan Piala Sultan Azlan Shah yang sepatutnya diadakan September ini ekoran pandemik covid-19.

"Aktiviti sukan yang melibatkan sentuhan tidak dapat dipertandingkan lagi ketika ini. Kami akan berbincang dengan lebih terperinci bagi memastikan status kejohanan ini," kata Majid.

Tarikh Piala Sultan Johor, 3 hingga 10 Oktober namun penganjur akan mengadap Sultan Johor sebelum memutuskan status kejohanan.

Skuad remaja negara meraih tangga ketiga, tahun lalu selepas menewaskan Jepun, 3-2 pada penentuan tempat ke-3/4.