Penolong jurulatih skuad pembangunan hoki negara, Mohd Amin Rahim, menyahut cabaran untuk mempersiapkan pasukan jika Malaysia diberi tiket percuma untuk ke Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, India, bulan depan.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sudah memaklumkan kepada skuad pembangunan agar bersiap-sedia jika dipanggil menggantikan Pakistan yang dilaporkan akan menarik diri daripada kejohanan itu.

Mereka kemudiannya memulakan latihan intensif sejak tamat Piala Sultan Johor, tiga minggu lalu bagi mengekalkan prestasi pemain sebelum kejohanan bermula 8 Disember ini.

Media India melaporkan dengan memetik sumber dalaman Persekutuan Hoki Pakistan bahawa kerajaan negara itu sudah memberi kelulusan untuk beraksi di Lucknow, namun tiada pengesahan rasmi.

"Pasukan pembangunan akan meneruskan program latihan hingga hujung tahun 2016.

"Sekiranya berita baik itu datang kepada negara kita, saya harap ini peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan," ujar Amin.

Malaysia gagal melepasi kempen kelayakan Piala Remaja Asia di Kuantan, Pahang tahun lalu apabila sekadar meraih tangga kelima.

Ia kali pertama Malaysia gagal ke Piala Dunia Remaja sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1979.

Nasib itu mungkin berubah, bergantung kepada pengumuman Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), minggu ini.