Skuad pembangunan negara kendalian Wallace Tan berlepas ke Lucknow, India dengan berita positif apabila Kanada setuju menggantikan Jerman untuk aksi persahabatan sebelum Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2016 bermula Khamis ini.

Malaysia adalah antara pasukan paling lewat tiba di Lucknow dan oleh kerana kesuntukan masa, Jerman membatalkan aksi persahabatan.

Bagaimanapun, Kanada bersetuju menjadi pengganti juara bertahan itu untuk pemain negara menguji venue kejohanan, Stadium Hoki Major Dhyan Chand.

“Kami akan menjalani perlawanan persahabatan bagi menyesuaikan diri di sana,” kata Wallace.

Persiapan singkat menyaksikan pakar pukulan sudut penalti negara, Najmi Farizal Jazlan, akan menggalas tugas utama menjaringkan gol bagi mencabar pesaing Kumpulan B yang dihuni Belanda, Mesir dan Belgium.

"Kami perlu segera membiasakan diri dengan cuaca sebelum perlawanan bertemu Belanda,” kata Najmi.

Sebagai rekod, Malaysia pernah meraih tangga keempat sebanyak tiga kali dalam kejohanan itu pada 1979, 1982 dan 2013.