"Pasukan senior kebangsaan tidak patut beraksi,” itu komen bekas kapten hoki negara, Datuk Sri Shanmuganathan, selepas skuad kendalian Stephen Van Huizen gagal ke peringkat separuh akhir Liga Hoki Australia.

Turut gagal ialah skuad pembangunan dan wanita negara.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang menghantar pasukan senior dalam Liga Hoki Australia.

Bagaimanapun, ketiadaan ramai tonggak utama menyaksikan perancangan Stephen tidak menjadi sehingga menamatkan saingan round robin Kumpulan A di tangga keempat dengan empat mata selepas lima perlawanan.

Apa yang mengecewakan, skuad remaja India berjaya untuk meneruskan kemaraan apabila mengungguli Kumpulan B, sekali gus menjejaskan reputasi pasukan senior kebangsaan.

"Apa yang mereka perolehi daripada beraksi dalam Liga Hoki Australia? Apakah pengalaman yang mereka perlukan untuk beraksi di sana? Kita tidak memenuhi kriteria kelab hoki untuk beraksi di Australia.

"Mengapa mereka tidak menghantar pasukan Terengganu Hoki Team (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menyertai Liga Hoki Australia dan memberikan pendedahan kepada mereka?

"Kita mempunyai ramai lagi pemain yang perlu diberikan pendedahan untuk beraksi di pentas antarabangsa dan mungkin kita bakal mendapatkan pemain berbakat daripada pendedahan tersebut yang akan membantu pasukan kebangsaan secara keseluruhannya," jelas Shanmuganathan

Prestasi di Australia membuktikan masih banyak yang perlu dilakukan untuk mencabar Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, bermula 20 Oktober ini.

Stephen boleh menarik nafas lega apabila tonggak utama, Muhammad Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor, yang sedang menjalani kursus latihan asas inspektor polis, mendapat pelepasan Polis Diraja Malaysia untuk mewakili Malaysia.