"Mereka wajar dipuji," demikian pendirian bekas kapten kebangsaan, S. Kuhan walaupun skuad pembangunan hoki negara gagal capai sasaran suku akhir Piala Dunia Remaja 2016 menjelang aksi berdepan Austria untuk penentuan tempat ke-11/12, Sabtu ini.

Kuhan tiba di Lucknow, India bagi memberi sokongan terhadap Malaysia.

Pertahanan negara yang bersara pada 2007 ini berpendapat, skuad kendalian Wallace Tan wajar dipuji kerana berani datang ke Lucknow meskipun tanpa sebarang persiapan rapi.

Justeru, tiada sebab untuk mengkritik skuad negara walaupun gagal capai sasaran suku akhir ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

"Latihan tidak mencukupi jadi berdasarakan faktor itu mereka wajar dapat pujian.

"Kerana bukan mudah untuk membentuk pasukan kurang 10 hari sebelum kejohanan bermula.

"Mereka tetap memberi tentangan ketika berdepan Belgium dan mereka tidak menamatkan kumpulan di tempat terakhir.

"Pemain muda yang terpilih juga mendapat pengalaman berharga beraksi di sini. Itu sangat penting," jelasnya.

Kuhan pernah memegang rekod pemain paling banyak mewakili negara dengan 341 kap.

Namun, dia tidak pernah merasai pentas Piala Dunia Remaja apabila Malaysia gagal melepasi kempen kelayakan untuk edisi 1997 di England.