Sindrom kurang yakin masalah utama skuad negara -- Mirnawan

Oleh Staff Writer 19 Disember 2018 149
Sindrom kurang yakin masalah utama skuad negara -- Mirnawan
Skuad hoki negara perlu mengembalikan keyakinan dalam pasukan untuk menghadapi siri kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun ranking mereka jatuh satu anak tangga.

Bekas kapten skuad hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, menyarankan agar The Malaysian Hockey Tigers mendapatkan pendedahan program yang lebih efektif seperti perlawanan kompetitif bagi meningkatkan kembali prestasi dan keyakinan sepasukan.

Mirnawan mengakui cabaran yang dilalui dalam saingan Piala Dunia tempoh hari cukup getir dan sudah menjangka ranking semasa skuad negara akan jatuh.

Bagaimanapun, keputusan hampir mengejutkan Jerman dan seri menentang Pakistan membuktikan pasukan hoki Malaysia tidak ketandusan pemain berbakat untuk kembali meletakkan skuad negara kembali berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

"Pemain Malaysia kadangkala kurang keyakinan dalam diri sendiri, termasuk kebolehan pasukan. Menjelang kelayakan Olimpik, jurulatih harus memastikan mereka dapat memupuk semangat pemain," katanya.

Sementara itu, selepas hampir 20 tahun skuad hoki negara tidak layak melepasi kelayakan Olimpik, Mirnawan ingin melihat The Malaysia Hockey Tigers memandang ke depan dan memberi tumpuan bagi menghadapi kempen itu nanti.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen