Naib presiden kanan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dr. S. Shamala, menganggap penyertaan sembilan pasukan senior dalam Kejohanan Hoki Wanita Piala Razak 2017 adalah sesuatu yang relevan selepas beberapa pasukan negeri tidak dapat menurunkan pasukan dengan alasan ramai pemain terlibat dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketika jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, tercari-cari muka baru yang masih boleh dilentur, tarikh penganjuran kejohanan kali ini tampak menjadi punca utama hasratnya terhalang.

Tegas Shamala, kehilangan hampir separuh pasukan dalam kejohanan kali ini adalah disebabkan tarikh penganjuran bertembung dengan peperiksaan SPM.

“Salah satu sebab yang diketahui adalah peperiksaan SPM dan mungkin banyak pasukan yang menggunakan kesempatan dalam kejohanan ini sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun depan.

“Tidak mustahil rata-rata pemain dalam pasukan negeri yang tidak menghantar wakil diperkuatkan oleh pemain-pemain dari bangku sekolah,” ujarnya.

Walaupun memahami situasi Dhaarma yang mahu melakukan persiapan bagi aksi Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun depan, Shamala tetap melihat masih ada mekanisme lain yang boleh diketengahkan.

“Saya yakin Dhaarma mempunyai rekod yang baik dengan pasukan negeri.

“Secara terus atau tidak terus,kami memiliki saluran buat mereka agar dapat menyertai pasukan kami,” katanya lagi.