Rodhanizam bimbang LHM berkubur

Oleh Penulis Jemputan 11 Disember 2017 1109
Rodhanizam bimbang LHM berkubur
Bekas pemain hoki negara, Rodhanizam Mat Radzi, bimbang Liga Hoki Malaysia (LHM) akan berkubur jika Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak memandang serius jumlah pasukan yang semakin menurun ekoran dominasi pasukan handalan.

Hanya enam pasukan bertanding dalam Liga Perdana LHM berbanding jangkaan 10 pasukan.

Untuk saingan wanita, hanya empat pasukan mengesahkan penyertaan menjelang saingan bulan depan.

Ia sepatutnya menyedarkan KHM bahawa masa depan LHM adalah membimbangkan walaupun pasukan yang memiliki dana besar berjaya memancing beberapa pemain import berkualiti.

"KHM perlu membuat perancangan rapi bagi musim 2018 apabila saingan liga yang berlangsung hanya selama sebulan dan berbaki 11 bulan lagi, apakah kejohanan-kejohanan atau aktiviti yang boleh memanfaatkan persatuan atau kelab hoki di Malaysia," soalnya.

Setakat ini, hanya dua kejohanan dianjurkan dalam tempoh setahun, iaitu LHM dan Piala Razak, sedangkan pemain menerima gaji setiap bulan.

KHM perlu mencari jalan untuk menyesuaikan tarikh kejohanan atau mewujudkan kejohanan tambahan agar pasukan yang melaburkan dana, mendapat pulangan pelaburan yang setimpal.

"Walaupun sesetengah pasukan tidak memiliki pemain-pemain beraksi dalam skuad kebangsaan,  saingan liga dalam dewan mungkin mampu menambah aktiviti hoki bagi musim akan datang," ujarnya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen