Menjelang pengumuman senarai baru atlet ke Program Podium, teka-teki siapa yang bakal dikekal dan digugurkan terus mencetuskan debaran dalam kalangan warga sukan tempatan dalam memastikan perkhabaran yang hanya akan diketahui esok.

Difahamkan, Pengarah Program Podium, Tim Newenham, telah mengadakan perjumpaan terakhir dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, hari ini bagi membentangkan senarai akhir atlet yang akan berada dalam program itu.

Senarai sedia ada melibatkan 117 atlet dan kemungkinan jumlah itu akan bertukar menjelang pengumuman esok dengan beberapa atlet dijangka akan digugurkan lalu digantikan dengan atlet yang lebih menyerlah tahun ini.

Proses penyerapan ke Program Podium akan melalui saringan yang amat ketat dan awal-awal lagi, Newenham sudah menjelaskan pencapaian dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu tidak menjamin apa-apa buat atlet yang dicalonkan.

Program Podium dianggap penting buat warga sukan tempatan kerana ia banyak membantu memberikan sumbangan, bukan sahaja dalam bentuk kewangan, malah sokongan daripada sudut sains sukan serta program latihan berprestasi tinggi dalam misi mencapai pingat emas pertama Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Walaupun sebelum ini kami tidak masuk Program Podium, kalau kami beraksi untuk negara, kami akan memberikan segala-galanya. Apabila dimasukkan dalam program itu, kami akan mendapat suntikan dana yang lebih," ujar ketua pasukan hoki lelaki negara, Sukri Mutalib.

Buat masa ini, Program Podium tidak hanya dimanfaatkan sukan-sukan popular seperti badminton dan terjun kerana ia turut menyenaraikan atlet dari boling padang, iaitu seramai 12 orang.

"Sebagai atlet, saya cuma memberikan yang terbaik.

"Apa yang saya lihat, prestasi skuad memanah pada tahun ini agak memberangsangkan. Bukan sahaja dalam Sukan SEA kami memenangi emas, malah dalam Kejohanan Dunia dan Piala Dunia pun kami ada pencapaian sendiri," ujar pemanah recurve negara, Haziq Kamaruddin.

Pemangku Setiausaha Kehormat Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Abu Hanapah Ismail, turut berkongsi kelebihan dalam Program Podium dengan berkata: "Kami ada mencadangkan (atlet). Kalau mengikut ranking, atlet kami berada dalam kelompok pertama hingga ketiga. Mereka ada harapan untuk mendapat pingat emas."

Antara kriteria pemilihan ke Program Podium adalah seseorang atlet atau pasukan itu perlu berada dalam kalangan lapan terbaik Sukan Olimpik dan Paralimpik 2016 atau menghuni ranking keenam terbaik dunia selain berpotensi dalam Sukan Komanwel dan Asia 2018.