Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) membuat pusingan 'U' apabila enggan tergesa-gesa mencari ketua jurulatih baru skuad wanita negara.

Sebaliknya, badan induk berkenaan bersedia untuk memanjangkan tempoh pencarian itu dengan satu perbincangan bersama jawatankuasa kejurulatihan dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan diadakan dalam dua minggu ini.

Terdahulu, KHM memberi jaminan untuk mencari pengganti kepada bekas jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, selewat-lewatnya pada penhujung bulan ini.

Namun, disebabkan beberapa faktor, badan induk itu mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata: "Kami berbelanja terlalu banyak untuk skuad wanita dan saya baru perasan dalam tempoh lima tahun ini, kami sudah membelanjakan lebih kurang RM6 juta untuk skuad wanita.

"Ia pelaburan yang besar dan ramai pihak tidak tahu mengenainya.

"Kami mengeluarkan wang yang banyak tetapi tidak mendapat keputusan yang kami mahukan.

"Nak melepasi pusingan kedua pun susah.

"Saya fikir kami telah melakukan perkara yang tidak betul dan perlu mengkaji semula secara keseluruhan dan mendapatkan satu ketetapan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, dalam mesyuarat ahli lembaga eksekutif yang berlangsung hari ini, Subahan turut menjelaskan pembayaran wang hadiah kemenangan saingan musim ini akan dilunaskan pada hujung bulan ini.

"Kami juga berbincang mengenai pembayaran wang kemenangan.

"Insya-Allah dalam dua minggu ini, ia akan dilunaskan.

"Jadi, pada hujung bulan ini, hadiah wang kemenangan yang perlu dibayar kepada pemenang Liga Hoki Malaysia akan diselesaikan," tambahnya.