Jurulatih skuad hoki Sekolah Sukan Bukit Jalil, S. Prakash, menyokong perancangan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk membuka pintu kepada penonton menyaksikan Liga Hoki Remaja yang dijangka bermula, September depan.

"Jika semua pihak telah bersetuju, saya berasakan tiada masalah untuk menganjurkan saingan dengan kehadiran penonton," kata Prakash.

Jika KHM berjaya mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), badan induk itu akan menjadi persatuan sukan pertama di Malaysia yang membuka pintu kepada penonton sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PK) dilaksanakan, Mac lalu.

Situasi itu bagaimanapun tidak cukup memuaskan hati Prakash -- ini kerana pasukannya belum dapat menjalani latihan sepenuhnya walaupun kerajaan sudah memberi lampu hijau untuk sesi latihan diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Kami perlu mula berlatih dengan lebih intensif sebelum bersedia menghadapi mana-mana saingan. Sekurang-kurangnya lapan minggu latihan sebelum menjalani sebarang pertandingan."