Ketua pasukan Hockademy KL, Nuraini Abdul Rashid, kekal fokus menjelang aksi final Piala Vivian May Soars berdepan PKS Uniten di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, esok, biarpun pasukannya dipalit isu luar padang.

Perebutan gelaran itu menyaksikan pertembungan di antara juara Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) itu dan PKS Uniten dengan harapan untuk merangkul kejuaraan kedua musim ini.




Walaupun dilanda kemelut di luar padang malah mengalahkan pasukan PKS Uniten dua kali dalam saingan liga, kapten pasukan itu tidak akan mengambil mudah cabaran yang bakal dihadapinya.

"Saya cuba meningatkan rakan sepasukan yang lain supaya memberi fokus kepada aksi di atas padang serta mengikuti arahan jurulatih," katanya dalam sidang media di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.



Tampil dalam final buat kali ketiga sejak 2015, kapten pasukan, PKS Uniten, Raja Norsharina Raja Shabuddin, pula optimis keputusan final pasti akan jauh berbeza berbanding dalam saingan liga.

"Apa yang terjadi di luar, usah dibawa masuk ke dalam padang,

"Tidak kira siapa pun lawan kami, kami adalah setanding selain tiada istilah pemain muda dan senior ketika di atas padang," katanya.